Pembedahan pintasan jantung @ pembedahan pintasan graft arteri koronari (CABG)

Apabila seseorang menghidapi penyakit arteri koronari, terdapat pelbagai rawatan bergantung kepada keadaan kesumbatan tersebut. CABG merupakan satu kaedah yang melibatkan pembedahan untuk memintas arteri yang tersumbat. Doktor anda akan menentukan rawatan yang terbaik untuk anda.

Pembedahan pintasan jantung @ pembedahan pintasan graft arteri koronari (CABG)

Dalam pembedahan ini, urat darah(vena) akan diambil daripada salah satu bahagian tubuh anda, selalunya di kaki, dan digunakan untuk memintas bahagian arteri yang sempit atau tersumbat pada permukaan jantung. Urat darah yang diambil itu akan dipotong kepada beberapa ukuran yang pendek. Kemudian, satu pangkal daripada potongan urat darah tersebut akan disambung kepada arteri utama jantung (aorta) yang paling hampir dengan jantung. Hujung urat darah berkenaan pula akan dijahit atas arteri koronari melepasi arteri yang sempit.

jantung tersumbat

credit mymeditrip.com

Pembedahan pemintasan bahagian yang sempit tersebut dapat meningkatkan pengaliran darah ke jantung. Bagi sesetengah pesakit, arteri yang terdapat di dalam dada boleh digunakan selain urat darah di kaki.

Bagaimanakan pembedahan CABG ini dapat membantu?

CABG dapat memperbaik aliran darah dan membuatkan pesakit;

# tidak banyak memerlukan ubat

# berupaya menjalani gaya hidup yang lebih aktif

# berkemungkinan hidup lebih lama

Bagaimanakah persediaan bagi pembedahan CABG?

Anda dan keluarga harus mengetahui sebanyak mungkin mengenai pembedahan ini, semasa di hospital, bagaimana untuk pulih dan kembali menjalani kehidupan yang normal daripada doktor. Memahami proses ini akan dapat membantu anda untuk menjalani pembedahan dan mengurangkan tekanan.

Pada hari anda masuk wad, doktor akan berbincang dan memeriksa anda. Ambillah peluang ini untuk bertanya soalan dan mendapatkan penjelasan tentang apa yang akan berlaku kepada anda sepanjang berada di hospital.

Anda akan disediakan untuk pembedahan dan dijaga oleh anggota jururawat yang terlatih dan berpengetahuan yang juga boleh menjawab pertanyaan anda. Pihak hospital juga memerlukan kebenaran sehari sebelum pembedahan tersebut. Doktor akan menerangkan risiko dan manfaat pembedahan tersebut, juga perkara yang berkaitan dengannya. Ini merupakan satu lagi peluang untuk anda mendapat penjelasan tentang sebarang kekeliruan yang ada.

Sebelum masuk wad

1. Pihak hospital akan berusaha mengurangkan keperluan terhadap transfusi darah ketika menjalani pembedahan.

2. Anda mungkin diberikan diet untuk membina zat besi dalam darah anda.

3. Anda perlu berhenti mengambil ubat yang mungkin akan meningkatkan peluang berlakunya pendarahan (seperti aspirin, ticlid, persantin) satu minggu sebelum pembedahan.

4. Jika anda merokok, anda diminta untuk berhenti 6 minggu sebelum menjalani pembedahan.

5. Kebiasaannya, anda akan dimasukkan ke hospital 2 hari sebelum pembedahan dan bertemu dengan pasukan perubatan yang terdiri drpd pakar bedah, pakar bius, jururawat dan ahli fisioterapi yg akan menjaga anda ketika dan selepas pembedahan.

Sehari sebelum pembedahan

Pasukan bedah akan melawat anda utk berbincang mengenai pembedahan dan melayani sebarang pertanyaan anda. Pakar bius pula akan bertanya mengenai sejarah kesihatan dan alergi anda.

Anda akan dicukur di hampir keseluruhan bahagian tubuh, sementara bahagian yg akan dilakukan pembedahan iaitu kaki dan dada akan dicuci dgn sabun bedah antiseptik ketika anda mandi petang.

Hari pembedahan

Kira-kira satu jam sebelum pembedahan, anda akan diberi ubat yg membuat anda berasa hendak tidur. Kakitangan hospital akan membawa anda ke bilik bedah. Di sana, anda akan diberi ubat bius yg akan membuat anda tidur sepanjang masa pembedahan. Keluarga anda digalakkan menemani anda di wad, tapi tidak dibenarkan masuk bersama ke dewan bedah.

Tempoh masa pembedahan

Pembedahan CABG selalunya mengambil masa di antara 3 hingga 6 jam, bergantung kepada apa yang perlu dilakukan. Di waktu ini, keluarga anda boleh berehat di bilik menunggu di ruang luar dewan bedah. Jika berada di luar IJN juga lebih baik dan kembali semula sehingga selepas masa yang dianggarkan.

Apa yang berlaku ketika pembedahan?

Pakar bedah akan membuat potongan memanjang di bahagian tengah dada untuk sampai ke jantung anda. Kemudian, pintasan yang berkenaan akan dibuat dengan urat darah yang telah dipilih. Selalunya, terdapat satu atau lebih potongan pada kaki di mana urat darah diambil untuk pintasan.

video pembedahan cabg

 

Apa yang berlaku selepas pembedahan?

Anda akan dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk dipulihkan. Apabila anda sedar selepas kesan bius hilang, anda mungkin akan berasa keliru dengan keadaan sekeliling dan kebas, tetapi keadaan ini hanyalah seketika sehingga koordinasi tubuh dan fikiran anda menjadi lebih setara.

Anda juga mungkin perlu tinggal di dalam ICU selama satu atau dua hari pertama selepas pembedahan. Anda juga akan diajar beberapa latihan pernafasan untuk membantu menguatkan paru-paru dan dada.

Apa yang perlu keluarga anda buat ketika dan selepas pembedahan?

Ketika pembedahan berlangsung, keluarga anda tidak digalakkan berada di sekitar IJN. Jika ingin juga menunggu, boleh berbuat demi,ian di bilik menunggu di tingkat satu dan pastikan pihak IJN tahu di mana keluarga anda berada sekiranya berlaku kecemasan.

Keluarga anda boleh melawat di ICU tetapi untuk masa yang singkat sahaja kerana anda memerlukan rehat yang cukup. Hanya ahli keluarga terdekat sahaja, 2 orang pada satu-satu masa dibenarkan melawat. Sila dapatkan pas pelawat dari Kaunter Penerangan. Untuk memasuki ICU, ahli keluarga anda dikehendaki mengenakan gaun yang disediakan supaya kebersihan dan kesihatan anda terpelihara.

Berapa lamakah anda akan tinggal di hospital?

Biasanya anda dikehendaki tinggal di hospital selama 5 hingga 7 hari selepas menjalani pembedahan CABG.

Apakah itu proses pemulihan?

Latihan pernafasan dan batuk amat penting untuk membantu anda pulih dan sembuh dengan segera, walaupun akan berasa sakit pada awalnya. Pakar bedah anda atau jururawat akan menunjukkan cara yang betul kepada anda.

Batuk dapat mengurangkan kebarangkalian anda untuk mendapat radang paru-paru (pneumonia) dan demam. Anda digalakkan batuk selepas menjalani pembedahan. Walaubagaimanapun, doktor akan menahan anda daripada batuk berlebihan yang mungkin akan memudaratkan anda.

Anda akan mendapati mudah untuk batuk sekiranya dada anda disokong oleh bantal. Anda juga dapat membantu proses pemulihan dengan menukar posisi anda di atas katil dengan bantuan jururawat atau ahli fisioterapi. Mulalah bergerak dengan perlahan sebaik sahaja anda boleh berbuat demikian.

Pulang ke Rumah

Doktor akan memberitahu bilakah waktu anda dibenarkan pulang ke rumah. Dalam kebanyakan kes, anda dibenarkan pulang di antara 5 hingga 7 hari selepas menjalani pembedahan. Anda akan diberitahu sehari sebelum dibenarkan pulang.

Apabila anda sudah dibenarkan pulang, sila maklumkan keluarga supaya datang mengambil anda. Sebelum meninggalkan hospital, doktor akan memastikan anda sihat dan akan memberi nasihat mengenai aktiviti dan ubat anda. Umumnya, anda harus mengelakkan aktiviti fizikal yang lasak sekurang-kurangnya satu bulan selepas pembedahan.

Anda juga akan diberi tarikh temujanji untuk lawatan seterusnya. Amat penting untuk anda mengambil ubat dan menepati temujanji supaya doktor dapat mengawasi kemajuan kesihatan anda.

– kredit pamplet Institut Jantung Negara ~ Jantung anda… Prihatin kami

Beginilah yang telah emak saya alami. Sudah 12 hari semenjak pembedahan CABG dan kini emak saya berada di Hospital Taiping pula. Terima kasih atas doa semua. Moga info ini dapat dikongsi dan dimanfaatkan bersama.

Incoming search terms:

20 comments

  • Oh ibu rupanya ibu telah menjalani pitasan jantung. Teknologi didalam perubatan dapat memperbaiki kualit kehidupan sesorang.

  • puanbee

    oh itu yang nis pergi IJN ye .. hospital kay duduk depan IJN tu .. awat tak habaq kalau tak boleh bee pg sana .. huu .. semoga mak nis cepat sembuh dan boleh jalani hidup aktif .. kena rajin senaman ringan tu untuk jantung yang sihat ..

    • aah… sbb itu le nis gi IJN…

      kay kat Pusrawi depan sikit tu kan… nis lahir di Pusrawi, tp mak nis kata Pusrawi cawangan pertama tu, bukan yg di kg. baru

      xper, next time insyaAllah nis bgtahu… lg 5 minggu mak nis kena ke IJN semula buat rawatan susulan

      aah, doc pun suruh jalan2 sikit… terima kasih

  • Saya kebetulan bekerja sebagai juru rawat di bangsal Jantung dan seringkali mempersiapkan pasien yang akan operasi CABG dan merawat pasien setelah keluar dari ruangan ICCU.

    Alhamdulillah banyak pasien yang sehat dan kondisinya membaik pasca operasi CABG ini dan kualitas hidupnya jadi lebih baik.

  • sama2 kita doakan supaya emak sis cepat sembuh, insyaAllah.

  • oohhh..ada pengalaman rupanya..semoga mak cepat sembuh!

  • semoga emak cepat sembuh.. :) info yang bagus..

  • nina

    hi..thanks for sharing. ibu saya akan lakukan angiogram next week. harap2 lps tau result saya harap x perlu sampai bypass. saya dan ibu masing2 ibu dan anak tunggal. saya risau,takut, semua ada, tapi lps baca artikel ni,saya rasa lega dan yakin ibu boleh lalui nya. bagi yang membaca, pohon doa kalian semua buat ibu saya semoga ibu awak cepat sembuh seperti sediakala… terima kasih

    • hi nina,

      terima kasih sudi membaca… ye, kondisi ibu sy lebih baik lepas bypass ni. jangan risau sgt ye…

      semoga ibu awak dan ibu sy sembuh sepenuhnya lepas ni. amin…

  • farwin

    Bapa sy bkal menjalani pmbdahan bypass 18hb ni..hope smuanya dlm keadaan slmt..minta pngunjung blog doakan kelancaran pmbdahan..thanks(‘v’)v

  • mimi

    salam..ayh saya bru blik dr ijn smlm selepas menjalani angiogram dan akan menjalani bypass pada 3/11..utk pngetahuan, 7/12 akan berlangsung mjlis perkahwinan sy, sy sgt risau dan cuba mencari sdikit info mnengenai bypass..sy berharap semua berjalan lancar dan doakan kesihatan ayah sy….

    • wslm mimi,

      insyaAllah ayah akan kembali sihat dan ceria. berdasarkn pengalaman mak sy lepas bypass, alhmdulillah dah banyak boleh bangun (jika tidak asik baring dan tidur), boleh memasak… syukur ~

  • Tokwan

    Salam sis..nak tanya,berapa kos untuk pembedahan seperti ini??ada kwn sy bapanya disarankan untuk bt pembedahan seperti ini tapi masih belum tahu berapa kos yang diperlukan.jadi sekiranya boleh minta sis berkongsi kadar rawatan jg kos pembedahan supaya persiapan dr segi kewangan boleh dibuat.dan sekiranya ada jalan atau tempat yg boleh dirujuk bagi mendapatkan bantuan kewangan,mohon dapat berkongsi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *