Cerpen: Aku, Sebungkus Biskut Dan Pengemis itu

Bau menyengat menyeruak manakala seorang perempuan naik ke dalam bas. Mereka mungkin ibu dan anak. Anak kecil itu mungkin berusia 2 tahun menurut pengamatanku. Aku menahan nafas. Busuk dan hancing. Beberapa penumpang lain turut terganggu dengan aroma yang datang. Mereka duduk benar-benar di sebelahku. Ingin saja aku mengeluarkan sapu tangan dan membekap hidungku. Tapi aku khuatir tindakanku akan menyakiti mereka. Bukankah semua manusia itu sama saja? Seolah-olah mereka juga sedar jika kehadiran mereka kurang menyenangkan para penumpang bas yang lain. Gerak geri mereka mencermin

kan rasa kekok. Setelah berhasil menguasai diri, barulah mereka bersuara dan saling bercakap sesama sendiri. Si ibu berbicara tentang rancangannya untuk mencuba nasib di tempat kerja yang baru. Di sebuah pekan yang sentiasa sibuk. Tidak jauh dari tempat kerjaku. Mungkin untuk menjalankan kerja mereka sebagai – aku memerhatikan penampilan mereka, -pengemis.

Anak kecil itu memandang ke arahku. Bening. Sepasang mata yang bening itu mencerminkan kesucian dirinya. Begitu murni dan tak berdosa. Dia seharusnya berada di tempat yang lebih baik. Tidak sepatutnya dengan usia sekecil ini dia berada dalam gendongan ibunya dan belajar meminta belas daripada orang ramai. Hatiku tersentuh. Tanganku bergerak menyeluk saku beg galasku. Aku mengeluarkan sebungkus biskut. Aku menimbang-nimbang sesaat dalam hatiku. Sebenarnya, hanya biskut inilah sarapan untukku di pagi ini. Aku putuskan untuk menghulurkannya kepada anak kecil itu. Ibu kepada anak kecil itu terperangah. Mungkin tidak sangka dengan tindakanku. Lambat-lambat dia mendorong tangan kecil itu untuk menerima sebungkus biskut yang kuhulurkan.


“Ucap terima kasih, nak,” begitu halus tutur yang dilanturkan oleh si ibu sambil tunduk memandang anak kecil dipangkuannya.


Bibir comel itu merekah dan tersenym. Walaupun dengan wajah yang agak kotor, dia kelihatan begitu manis sekali. Anak kecil itu menggenggam biskut pemberianku erat-erat. Sejurus kemudian, si ibu membuka bungkusan biskut dan memberikan kepada anak kecil itu. Dia makan dengan lahapnya. Jelas, anak kecil itu sangat lapar. Para penumpang bas yang lain melihatku dengan sedikit mencebik. Mungkin mereka marah kerana aku menyenangkan orang yang telah membuat mereka berasa tidak selesa. Sebenarnya, aku boleh saja tidak menghiraukan perempuan dan anak kecil itu. Mungkin saja anak kecil itu diculik dan dijadikan umpan untuk melancarkan pekerjaan pengemis tersebut. Dan aku adalah mangsa pertama mereka pagi ini. Terlalu banyak kemungkinan. Tetapi… lebih dari itu aku tidak mahu memikirkannya. Anak kecil itu bagaikan magnet buatku. Menarik perhatianku. Menarik rasa hiba di hatiku.

Di perhentian bas yang berikutnya, aku turun dan kami berpisah. Masih sempat kulihat mereka menatapku melalui tingkap bas. Perempuan pengemis itu memegang tangan anaknya dan melambaikannya ke arahku. Aku membalas, melambai kecil.

Mengapa anak kecil itu harus tumbuh dikalangan manusia yang sukar untuk memberikannya masa depan? Adakah dia juga akan menjadi pengemis seperti perempuan itu. Aku masih lagi memikirkan perihal perempuan pengemis dan anak kecil itu dalam perjalananku ke Restoran Makanan Laut. Tempatku bekerja. Sesampainya di sana, aku cuba membuang fikiranku tentang mereka. Masih banyak yang harus kufikirkan. Tentang perbelanjaan sekolah adik-adikku di kampung. Tentang sewa rumahku, bil air dan elektrik. Ya, tentang hutangku yang masih belum terlunaskan. Kepalaku sudah terasa mahu pecah.

Jam 5:00 petang, waktu kerjaku tamat. Aku menarik nafas lega. Hari ini sangat melelahkan kerana pengunjung begitu ramai. Mendung sudah bergayut berat di dada langit. Dalam bila-bila masa saja hujan akan turun. Aku berlari-lari anak membelah lalu lintas yang padat. Dalam situasi begini, semua orang ingin bergerak cepat tanpa memikirkan kepentingan orang lain. Apalagi sekadar pejalan kaki sepertiku. Sampai saja di perhentian bas, hujan turun mencurah-curah. Bukan itu sahaja, angin yang tadinya bertiup kencang kini semakin menggila. Aku mendakap beg galasku erat-erat. Tubuhku sudah habis basah kerana air hujan yang berhamburan.Pohon-pohon bergocang dan kabel-kabel elektrik mengombak kencang. Tuhan seperti anak kecil yang sedang bersenang-senang dengan alat permainannya.

Tiba-tiba aku melihat ada yang datang menembus angin dan hujan. Semakin hampir, barulah aku mengecam mereka sebagai perempuan pengemis dan anak kecil bermata bening itu.

Akhirnya mereka sampai juga di perhentian bas yang sama. Mereka duduk di hujung bangku panjang ini. Sesaat kemudian si ibu kelihatan bingung mencari sebelah selipar anak kecil itu. Selipar yang bagi mereka mungkin sangat berharga. Selipar pelindung kaki anak kecil itu mungkin terjatuh saat mereka berlari ke sini tadi. Si ibu menurunkan anak kecil itu dan memujuknya untuk duduk diam di perhentian bas tersebut.

“Tunggu sebentar, nak. Jangan pergi ke mana-mana, ya.”

Setelah yakin anak kecil itu bebas dari rasa takut, si ibu berlari ke arah yang mereka lewati tadi. Kembali membelah hujan dan angin. Mencari selipar anak kecil itu.

Kilat menyambar langit. Anak kecil itu menangis ketakutan. Jangankan anak kecil, orang dewasa juga akan merasa gerun dalam cuaca seperti ini. Saat itu, sebuah bas berhenti di tempatku berdiri. Semula lagi aku menimbang dalam hatiku sama ada mahu menaiki bas tersebut atau tidak. Dan sekali lagi hatiku memihak kepada anak kecil bermata bening itu. Aku melangkah perlahan ke arah anak kecil yang sedang menangis ketakutan itu. Beberapa langkah, ….

“Kraaak…! Bummm!!!”

Terdengar suara dentuman yang kuat dari arah belakangku. Refleks aku terpekik dan melompat. Sempat kurasakan hentakan di belakangku. Aku membalikkan badan dan pemandangan yang terdampar membuatku terperangah. Sebuah pohon besar yang ada di perhentian bas tersebut tumbang dan melesakkan sebahagian atap perhentian bas tersebut. Bas yang menghampiriku tadi baru beberapa meter jauhnya dari pohon yang tumbang itu. Lutuku gementar.

Aku meraih anak kecil itu dalam pelukanku. Tuhan masih menyayangiku. Masih belum mahu mengambil nyawaku. Dia menghantarkan seorang anak kecil bermata bening ini sebagai malaikat penyelamatku. Bayangkan saja kalau anak kecil itu tidak datang di perhentian bas tersebut. Bayangkan saja kalau tiada anak kecil itu tidak ditinggalkan diperhentian bas itu sendiri, pasti aku tidak akan berjalan ke arah anak kecil itu. Pasti aku sudah mati dihempap pokok yang tumbang itu.

Tuhan telah memberikan pertolongan kepadaku melalui perempuan pengemis dan anak kecil ini. Anak kecil bermata bening yang pagi tadi kuberikan sebungkus biskut untuk meredakan rasa laparnya.

 

-kredit dari grup Saujanaku

Incoming search terms:

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *