5 Cara Untuk Menjadikan Rumah Anda Bertema Minimalis

Hai semua & salam wbt,

Rumah yang minimalis akan membantu anda untuk menenangkan fikiran selepas seharian berada di pejabat dan di jalanraya.

Reka hias dalaman minimalis boleh dikatakan antara gaya hiasan rumah yang paling ideal
berbanding dengan yang lain. Dan gaya ini sangat popular di Malaysia kerana cara hiasannya yang lebih kemas, teratur dan selesa untuk dipandang.

Selain itu, hiasan rumah yang minimalis juga membantu dalam mewujudkan keharmonian dengan gandingan garisan lurus yang kemas, warna asas yang ringkas dan penggunaan ruang yang efisien.

Keharmonian elemen ini adalah sangat penting untuk aspek estetik dan fungsi sesuatu ruang di sesebuah rumah.
Minimalisme atau minimalism mula meraih populariti pada awal abad ke-20, banyak dipengaruhi oleh masyarakat Jepun dan kerja senibina Ludwig Mies van der Rohe yang mengetengahkan rekabentuk ringkas dan hanya menggunakan komponen penting sahaja.

Minimalisme yang asalnya dilahirkan untuk keperluan seni bina kemudian mendapat tempat dalam bidang reka bentuk dalaman, dan medium lain seperti seni dan muzik. Kini, reka bentuk minimalis boleh dilihat pada pelbagai jenis medium – yang paling dikenali adalah penjenamaan dan rekabentuk produk oleh syarikat Apple yang sangat ringkas atau minimalis.

Untuk mendapatkan reka bentuk dan hiasan rumah minimalis tidak semudah yang disangka. Ini adalah kerana anda perlu tetapkan fikiran anda yang “less is more”, dan utamakan fungi sesuatu elemen yang diletakkan di setiap ruang. Walaupun begitu, pemilik rumah di Malaysia tetap boleh menjadikan rumah mereka sebuah rumah minimalis dengan hanya menggunakan perkara asas sahaja.

Jadi, jom lihat lima langkah mudah untuk menghasilkan rumah minimalis idaman anda.

 

1. Kurangkan barang

Memandangkan konsep minimalisme menekankan bilangan barang yang sedikit, memastikan rumah berada dalam keadaan yang kemas adalah langkah pertama. Secara asasnya, kurangkan bilangan barang yang ada di rumah dan hanya simpan barang yang penting sahaja.

Langkah ini mungkin sangat sukar untuk dilakukan tetapi ianya adalah penting untuk menghasilkan rumah yang minimalis. Kemas setiap bilik satu per satu dan pilih barang yang sesuai untuk disedekah, jual dan buang.

 

 

Atas: Rumah Berkembar (Semi-D) di SD Villa, Shah Alam oleh Young Concept Design

 

2. Susun dan simpan

Walaupun rumah anda kecil, anda harus menyediakan ruang simpanan yang cukup untuk kasut, mainan, buku, peralatan dapur dan lain-lain barang di rumah anda. Setiap barang harus mempunyai tempat simpanannya sendiri dan bukan diletakkan di atas lantai sama seperti perabot.

Kuncinya ialah mengubah suai ruang sedia ada di rumah anda dengan ruang simpanan yang lebih bijak, dan membeli perabot yang mempunyai pelbagai fungsi seperti meja ottoman yang mempunyai ruang simpanan rahsia di bahagian bawah meja. Lakukan sedikit ubah suai seperti menambah pembahagi laci juga akan membantu anda menyusun barang dengan lebih teratur.

 

 

Atas: Kondominium di Casa Tropicana, Petaling Jaya oleh Pocket Square

 

3. Kosongkan ruang permukaan

Terdapat banyak kawasan di rumah anda yang mudah untuk jadi bersepah. Contohnya, meja makan sering dipenuhi dengan surat, bil dan buku sekolah anak-anak, dan meja konsol atau kabinet yang paling hampir dengan pintu masuk rumah sering dijadikan tempat anda meletakkan kunci kereta, bola golf, plastik berisi barang yang baru dibeli dan macam-macam lagi.

Pastikan semua barang disimpan rapi di tempat yang sepatutnya agar permukaan kabinet dan meja sentiasa kosong dan kemas.
Selain itu, anda juga boleh mempunyai lebih ruang lantai dengan menggunakan lampu dan kipas yang digantung pada siling atau dinding. Untuk lampu tugasan atau task lighting pula, gunakan jenis lampu yang boleh dihalakan ke pelbagai arah supaya anda tidak perlu membeli pelbagai jenis lampu.

 

Atas: Kondominium di USJ 1, Subang Jaya oleh La Conception Hauz

 

4. Gunakan warna asas

Warna putih adalah pilihan yang paling popular. Tetapi jika ruang tersebut sering disinari oleh cahaya matahari, seimbangkan mood bilik dengan menggunakan cat warna putih yang lebih sejuk pada dinding.

Sebaliknya, jika anda menggunakan banyak lampu LED, cat dinding anda dengan tona
warna putih yang lebih warm.

Kemudian, apabila anda hendak menambah warna, pilih warna yang lebih menenangkan seperti biru, hijau atau coklat. Anda juga boleh menggunakan elemen kayu untuk menambah tekstur pada ruang tersebut.

(Baca: A Simple Guide to Wooden Flooring Options for Malaysian Homes)

 

5. Tambah sentuhan peribadi

Hiasan dalaman minimalis tidak semestinya membosankan. Apabila rumah anda sudah mempunyai lebih banyak ruang, tambah beberapa aksesori yang boleh menjadi topik perbualan.

Anda boleh meletakkan lukisan, ukiran atau gambar keluarga di dinding. Selain itu, kenal pasti juga titik fokus ruang itu dan main dengannya – tambah permaidani sudut dan sofa yang besar untuk buat ruang tersebut kelihatan lebih menarik.

 

Atas: Rumah Teres di Petaling Jaya oleh Amorphous Design Studio

 

Kesimpulan

Walaupun peminat minimalis mempunyai sebab tersendiri untuk memilih gaya ini, populariti untuk konsep minimalis terus meningkat kerana ciri hiasannya yang anggun, segar, kemas dan bersih.

Sama ada anda memang mengidamkan kesan zen-nya atau anda sukakan hiasan dalaman yang minimalis, konsep hiasan dalaman ini sesuai untuk semua jenis rumah.
Keindahan terletak pada kesederhanaan; bagi perhatian pada ruang kosong semasa anda lakukan susun atur perabot, dan anda akan lebih faham akan pepatah “less is not only more, but better”.

Pereka hias dalaman atau kontraktor ubah suai yang berdaftar dengan Recommend.my mempunyai gambaran yang lebih luas untuk mereka hias rumah anda secara minimalis. Contohnya, mereka mungkin akan memberi cadangan untuk besarkan bahagian dapur, tukar lantai baru atau tambah ruang simpanan untuk menghasilkan ruang yang kelihatan lebih bersih dan teratur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *